[Cerpen] Burung Layang-Layang

Assalamualaikum wrm. Dua bulan untuk tulis cerita pendek ini, sebab asyik terperangkap dalam ‘memories overflow’. Doakan kami yang sudah BFG. 🙂

[Cerpen] Burung Layang-layang

“Assalamualaikum!” Buat kali ketiga Uzair melaung dari luar rumah berpagar putih itu. Dia resah bila salamnya tidak bersambut sedangkan selepas memberi salam yang pertama tadi, dia terlihat kelibat orang mengintai dari balik langsir. Tambah curiga pula bila bunyi televisyen yang tadinya kedengaran sampai ke luar tiba-tiba hilang. Bagaikan penghuni rumah teres dua tingkat itu lesap dalam sekelip mata. Uzair mengeluh sambil Samsung Galaxy Ace berwarna putih dikeluarkan dari saku.

“Man….dah lama ke dia macam ni?” Sejurus berbalas salam, Uzair tidak membuang masa, terus sahaja meluahkan soalan yang menyeksa benaknya. Sudah tiga kali dia berkunjung ke rumah tersebut namun pertemuan yang diharapkan dengan si penghuni rumah belum pernah berjaya. Sambil telefon masih terlekap di telinga, tubuhnya didorong ke dalam Myvi berwarna merah yang diparkir tidak jauh dari situ. Enjin kereta dihidupkan, begitu juga penghawa dingin.

“Hurmm…dah lamalah Ayie. Kau je yang masih tak percaya.” Bagaikan tahu siapakah empunya yang dirujuk, suara di hujung talian pantas menjawab.

“Tapi dulu dia yang paling hebat bro. Solat jemaah tak tinggal. Program, daurah, usrah tak pernah cicir. Dia naqib aku yang paling mantap kot bro…” Uzair melepaskan rasa kecewa. Terbayang di hadapan matanya saat-saat mereka berdua masih bergelar pelajar di University of Manchester. Razif merupakan seniornya dalam jurusan kimia. Mereka sering meluangkan masa bersama-sama. Di samping mendapat bantuan Razif untuk menyiapkan lab report dan tutorial, Razif juga merupakan ketua usrahnya bersama-sama tiga orang kawannya yang lain. Uzair senyum pahit bila ingatannya memancarkan kenangan manis mereka ketika melepak sambil minum falouda di Moonlight yang terletak di seberang jalan dari rumahnya bila mereka selesai usrah. Kadang-kala, mereka jalan jauh sedikit ke arah stesen kereta api Oxford Road untuk merasa ayam goreng segera yang lazat di Pizza.co. Ada masanya pula, mereka berusrah sehingga tertidur di bilik Razif. Sedar-sedar, mereka dikejutkan untuk solat subuh. Pernah juga Razif bawa mereka sampai ke Birmingham semata-mata ingin mengajar mereka erti berkorban wang dan masa demi sebuah tarbiyah. Uzair mengeluh panjang. Kenangan itu betul-betul menghimpit jiwa!

“Dah la Ayie. Tak payahla kau runsingkan diri fikir pasal orang yang dah tak nak masuk dalam gerabak dakwah kita. Dah lama lupakan kita, tak perlukan kita.” Walaupun suara milik Man bernada memujuk, namun terselit kekecewaan. Uzair ketap gigi. Hatinya memberontak, mana boleh! Takkan nak lepas sewenang-wenangnya. Dulu, dia yang ajak aku masuk syurga sama-sama..pimpin tangan aku tiap kali aku terjatuh…sekarang bila tiba giliran dia terjatuh, aku biarkan?

“Aku nak dengar dari mulut dia sendiri. Selagi aku tak pandang muka dia, selagi aku tak dengar dia cakap yang dia tak nak buat dakwah lagi, selagi itulah aku tak akan berputus asa.”

” Terpulang pada kau Ayie. Aku nak kata jangan pun aku tahu kau akan berdegil jugak.”

” Tak apa Man. Biar aku cuba dulu.” Uzair pantas menjawab.

” Kalau macam tu, aku doakan usaha kau berhasil Ayie. Mana tahu, Allah buka hati dia melalui kau.” Uzair senyum nipis mendengar ucapan tersebut. Dalam hati, dia mengaminkan kata-kata sahabatnya itu. Ingin benar dia kembali berlari di medan dakwah itu berpimpinan tangan bersama Razif.

Sejurus kemudian, Samsung Galaxy Ace diletak kembali di dalam saku. Dalam kepala, Uzair rancak merancang sesuatu sambil kaki kanannya menekan minyak, terus keretanya meluncur di atas jalan raya.

*************

Pagi-pagi lagi Uzair sudah memarkir kereta tidak jauh dari rumah teres dua tingkat milik Razif. Semalam usahanya tidak berhasil, hari ini dia tak akan pulang dengan tangan kosong. Itu tekadnya. Sebaik sahaja pagar putih rumah tersebut terbuka luas secara automatik, Uzair menghidupkan enjin kereta dan menurunkan handbrake. Dia memecut dan berhenti tepat di hadapan rumah Razif. Toyota Vios hijau yang baru hendak berundur keluar terencat pergerakannya. Seorang lelaki keluar dalam keadaan tidak puas hati pada halangan yang datang tanpa diduga. Uzair kenal wajah itu. Pantas, dia juga keluar, menampakkan diri.

“Bro, kau tak akan pergi kerja hari ni. Ikut aku!” Tanpa mempedulikan wajah yang tergamam dihadapannya., Uzair membuka pintu penumpang di bahagian hadapan. Ibu jarinya ditunjuk ke dalam, isyarat agar Razif masuk ke dalam kereta. Razif seakan teragak. Tergambar kegugupannya akan pertemuan yang cuba dielakkannya.

“Aku tak nak buat scene bro. Kita ada hutang.” Perlahan tapi tegas suara Uzair yang akhirnya membuatkan Razif mengalah. Suasana dalam kereta senyap sehinggalah Uzair memberhentikan kereta di tepi lebuhraya Pontian-Skudai, berhampiran Petronas.

“Kau suka burung layang-layang kan?” soal Uzair selamba. Dia bersandar pada bonet kereta sambil melambung-lambung kunci kereta yang ada di tangan kanannya. Matanya tertancap pada wajah Razif yang sudah lama tidak ditemuinya hampir dua tahun memandangkan dia masih lagi punya dua tahun baki pengajian di Manchester ketika Razif berangkat pulang. Wajah itu tidak banyak berubah, kemas seperti dulu cuma wajah itu wajah yang merindukan bahagia. Wajah yang sudah lama tidak berbulatan gembira.

“Suka…” Bicaranya terhenti. Pandangannya terhala pada kereta-kereta yang membanjiri jalan raya. Pagi-pagi begitu memang sesak kerana masing-masing ingin ke tempat kerja.

” Tapi mungkin tu dulu…Setiap kali aku nampak dia terbang tinggi, menempuh angin, aku rasa itulah aku. Yang sentiasa terbang tinggi menggapai awan tak kira sama ada arus angin itu mendorong atau menentang perjalanan. Angin tu umpama ujian yang Allah hantarkan untuk aku, apa jua bentuknya aku akan cuba bertahan. Kerana aku percaya, kalau aku berjaya menempuh ujian tersebut, aku akan terbang lebih tinggi lagi,” jawabnya panjang dalam nada suara yang perlahan tapi masih dapat didengari oleh Uzair.

“Sekarang tidak?” Uzair menyoal lagi. Dapat dia melihat riak wajah yang terluka dengan soalannya. Razif berpeluk tubuh sambil kepalanya menggeleng perlahan, terus mengundang senyum tawar di bibir Uzair.

“Mungkin sebab kau terbang terlalu tinggi, tak terkejar dek burung yang lain.” Uzair berpuitis, cuba mencungkil isi hati Razif yang sebenar. Razif senyap seketika, nampak resah dan tidak selesa dengan topik perbualan mereka. Topi besbol hitam bertag NY miliknya ditanggalkan. Rambutnya diraup ke belakang sebelum topinya dipakai kembali. Wajah Uzair dipandang tepat sebelum bersuara.

“Bukan aku yang terbang terlalu tinggi.. Mereka yang terbang tanpa aku. Aku sibuk settle down lepas balik Malaysia. Banyak tertinggal program. Mula-Mula tertinggal daurah, kemudian tertinggal usrah pula. Aku sedapkan hati, aku boleh hidup dengan tarbiyah dzatiyyah. Aku fikir bila kehidupan aku dah stabil, aku boleh tumpukan perhatian sepenuhnya pada dakwah. Tapi…tanpa aku sedar, aku dah hidup tanpa dakwah dan tarbiyyah lagi. Aku seakan-akan lupa suatu ketika dahulu, usrah itu darah daging aku. Aku lupa kambing seekor akan dimakan serigala. Aku lupa betapa pentingnya tarbiyyah jemaah. Pernah aku cuba ikut balik…tapi tak berjaya. I lost my momentum. Aku ini….” Razif mengunjuk jari telunjuk ke arah dadanya.

“Burung layang-layang yang gagal merempuh angin Malaysia…”Kata-kata terakhir Razif membenihkan rasa ngilu dalam hati Uzair. Dia rasa mahu menangis. Air mata yang tidak sabar ingin menunjukkan diri dipujuk agar bertahan. Dia mengacu pandang pada wajah yang sudah tertunduk, memandang kaki yang perlahan menguis rumput-rumput kecil yang tumbuh liar.

“Kenapa kau tak contact orang? Man kan ada? Takpun, kan ramai ikhwah-ikhwah lain. Kenapa tak cari?”

“Aku malu…Segan dengan ikhwah-ikhwah yang makin laju, makin maju, makin mantap. Dalam kepala aku masih terngiang-ngiang kata-kata ustaz yang kita ni belum diuji selagi tak berkerja, berkahwin dan berkeluarga. Aku malu bila tak lepas pun ujian yang pertama tu. Bagaimana harus aku berdepan dengan mereka?” Razif bersuara lirih sambil menyeka air mata. Uzair tahan rasa ngilu yang semakin mencengkam dada. Air matanya yang tak tertahan turun laju.

“Akhi…” Bahu Razif dipegang, namun Razif menundukkan kepala, enggan bertentang mata.

“Akhi fillah…Akhi yang aku sayangi fillah,” seru Uzair dalam suara yang sudah serak. Bahu Razif digoncang perlahan, meminta ikhwahnya itu mengangkat kepala.

“Kau tak pernah dengar ke hakikat burung layang-layang?”

“Hakikat?” Razif angkat muka, sedikit terpinga. Wajah yang basah dengan air mata itu dipandang penuh persoalan.

“Burung layang-layang…” Uzair menunjuk pada seekor burung layang-layang yang kebetulan terbang di atas langit yang membumbungi mereka.

“Boleh terbang setinggi-tingginya sendirian…tapi bila jatuh ke tanah, tak boleh terbang lagi.” Razif terkebil-kebil. Dia angkat kening, tanda tidak faham.

“Burung layang-layang terbang dengan menjatuhkan diri dari tempat tinggi sambil mendepangkan kepaknya. Kalau jatuh ke tanah, burung layang-layang perlukan bantuan tangan yang sudi meletakkan ia kembali di tempat tinggi, baru boleh terbang lagi. Kalau tidak, selamanya di tanah!” Uzair mengukir senyuman nipis. Sapu tangan kecil dikeluarkan dari saku kemeja, mengelap muka yang tercemar dengan dengan air mata.

“Tapi Ayie…Tangan siapa yang sudi tolong burung layang-layang ini terbang kembali setelah jatuh terbungkam di atas tanah Ayie?”

” Aku! Aku sudi! Aku yang tengah berdiri depan kau sekarang…..yang tengah bercakap dengan kau!” Uzair menjawab lantang. Razif terkesima. Dia berdiri tidak bergerak, bagaikan terpaku kakinya di hadapan Uzair.

” Ikut aku pergi program. Minggu ni pun ada satu.” Uzair mengajak penuh harap namun Razif pantas menggeleng. Ajakan Uzair yang agak mendadak tidak memungkinkan dia untuk menjawab ya. Telinganya menangkap keluhan kecil yang tidak disengajakan dari bibir Uzair.

“Marilah… Aku yakin semua ikhwah pasti gembira. Mereka dah lama menantikan kepulangan kau. Semua orang rindukan kau, rindukan bicara kau tentang dakwah, tazkirah dan nasihat kau, tunjuk ajar kau…segalanya kami rindu.” Uzair tidak mengalah, kali ini melembutkan suara. Bersungguh-sungguh gayanya mengajak. Razif menghela nafas panjang. Jauh di sudut hati, kedatangan Uzair sebenarnya memberikannya harapan. Hati kecilnya sudah lama menantikan ajakan yang bersungguh-sungguh dari seorang ikhwah, agar rasa malu yang tertanggung dapat dilupuskan, agar keyakinan yang pudar bersinar lagi, agar hati yang sudah lama tandus tarbiyyah dibajak kembali.

” Aku….”

” Jomlah….” Uzair tidak memberi ruang untuk Razif menghabiskan bicara. Dia tahu saat itu, dia sudah berjaya mengusik hati Razif. Hanya menanti masa sahaja untuk dia cair sepenuhnya.

“Tapi…”

“Come on bro..give it a try. Dulu tak ada orang tolong kau. Kali ni ada. My hand….My very own hand! Mungkin tangan aku ni jalan keluar yang Allah nak bagi kat kau bro. Dalam surah al-talaq (2) pun Allah swt ada pesan: Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan menunjukkan jalan keluar kepadanya dari arah yang tidak disangka-sangka.” Sekali lagi satu helaan panjang terlahir dari mulut Razif. Ayat terakhir yang diungkapkan Uzair meresap jauh ke dalam hatinya. Meskipun dia sudah tinggalkan dakwah dan tarbiyah, dia masih lagi membaca Alquran di waktu senggang. Dan ayat yang baru dibacakan Uzair itu tak pernah luput dari ingatan, sering pula ketemu dalam bacaan. Teragak wajah Uzair yang penuh berharap dipandang.

“Oklah…” berat mulut Razif bersuara. “Program apa?”

“Pencerahan isu Mesir. Pejabat TNB Kempas. Aku ambil kau.” Uzair senyum, cuba menyalur sedikit kekuatan dan motivasi. Razif membalas senyuman itu meskipun senyumnya terasa lemah. Mereka berpaut bahu, kembali ke Myvi merah milik Uzair.

“Thanks bro,”ucap Razif perlahan. Dia masih teragak, pertemuan mereka singkat dengan hasil yang tak terjangka olehnya. Namun, dia memujuk diri untuk memberi peluang pada Uzair, pemuda yang suatu ketika dulu pernah dipimpinnya dalam usrah.

” No need bro. Lepas ni kalau aku jatuh, kau pula tolong aku terbang kembali.” Masih lagi tersenyum, Uzair menjawab. Razif mengangguk sambil mengungkap satu janji.

“Deal.”

Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku
iaitu Harun, saudaraku
kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku
dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku
supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu
dan supaya kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu
Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami.
(20: 29-35)

p/s: dedikasi khas untuk abang saya, Mr Three kerana sudi bercerita dengan saya tentang keunikan burung layang-layang.
Akhir kata, belajarlah dari alam 🙂

-tanah90
Johor.

Advertisements

About tanah

Just Allah's slave. seeking for a truth over a truth, love over love, strength over a strength, barakah over barakah, mardhotillah over mardhotillah and heaven after world.
This entry was posted in Cerpen, Dakwah Kita, Tinta Tarbiyyah and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s