[Cerpen] Usrah Gitar

Assalamualaikum wrm.
Its Saturday already, Alhamdulillah. Here is up another karya from me. 🙂

Bicara tentang Muzik
Gaya budak usrah
Semoga bermanfaat!

[Cerpen] Usrah Gitar

Trett! Trett!

Nada dering Samsung Galaxy S III meraih perhatian Unais yang sedang asyik menyusun fail=fail peribadi yang agak berserabut kedudukannya dalam simpanan komputer riba. Tanpa mengalih pandang dari skrin komputer, tangan kirinya meraba-raba sekitar meja belajarnya yang sedikit bergegar kesan mod getaran daripada telefon bimbitnya.

“Assalamualaikum akhi,”ucap suara yang amat dikenali di hujung talian, terus mengukir senyuman di bibir Unais. Salam berbalas sambil dia mencapai botol air mineral yang terletak di sudut kiri meja. Air diteguk. Pandangannya dialihkan pada sebuah bingkai gambar yang molek menjadi rumah kepada sekeping gambar dirinya dan empat pemuda lain. Gambar dia dan mutarabbi tercinta, berlatarbelakangkan Old Joe, menara jam yang sangat terkenal di Universiti Birmingham, tempat mereka semua menjadi penuntut.

“Kalau ana nak beli gitar, anta rasa gitar yang macamana yang patut ana beli?” Soalan cepumas tidak menunggu lama untuk terluah keluar dari mulut sang pemanggil. Unais tersengih sambil tangannya menggaru kepala yang tidak gatal. Gambar yang dipandang sedari tadi diraih ke pangkuan dengan perhatian lebih banyak tertumpu pada pemuda di sudut paling kanan. Ehsan, ada-ada sahaja soalannya yang nakal.

“Anta nak buat apa? Masuk kugiran?”usiknya sambil otaknya ligat mencari jawapan terbaik untuk diberikan. Walaupun dia terasa berat hati untuk menggalakkan mutarabbinya itu bermain alat muzik, tidak pula dia berniat untuk membantah terang-terangan.

“Ana rasa bakat ana ada pada alat muziklah akhi. Ana boleh menyumbang pada dakwah ni dengan muzik ana. Ana teringin nak jadi penasyid macam Maher Zain. Takpun, macam Wafiq, watak dalam cerita Sinergi tu. Dia kan buat lagu nasyid lepas dia berubah ke arah kebaikan.” Suara Ehsan ceria berceloteh, jelas semangatnya memancar-mancar walaupun mereka hanya rancak bersembang dalam talian.

“Anta ni banyak sangat baca buku Hilal Asyraflah,”sahut Unais sambil tertawa kecil. Ehsan turut tertawa sama. Namun, suaranya bertukar serius bila perbualan disambung.

“Ana serius ni akhi. Ana tak mahu jadi lebihan. Tak menyumbang apa-apa, sekadar melukut di tepi gantang. Dalam usrah kita, Syamil hebat memandu. Siap ada lesen UK lagi. Dengan Reza lagi ana cemburu. Hebat memimpin, jadi penceramah apatah lagi. Petah dengan mikrofon. Yusuf pula pakar komputer. Senang je dia tawan hati adik-adik bila dapat selesaikan masalah komputer.” Unais terdiam seketika mendengar bicara mutarabbinya yang satu itu. Dia sedar antara mutarabbinya yang berempat, Ehsan agak pendiam namun hatinya sangat sensitif. Dia mungkin menyedari rakan-rakan seusrahnya banyak terlibat sebagai AJK di program-program memandangkan mereka ada kepakaran yang menonjol. Unais ketap bibir. Mungkin dia sebagai murabbi yang bersalah kerana tidak terfikir akan perkara tersebut. Sangkanya, Ehsan lebih suka menumpukan perhatian pada kumpulan usrah yang dipegangnya, mengasah peribadi kemurabbiannya daripada menyibukkan diri dengan program-program.

“Ehsan…erk, ana tak tahu pula anta rasa begitu. Afwan.”Teragak Unais bersuara, ada nada penyesalan. Ada rasa bersalah yang bersarang di hati.

“Ana tak marah pun akhi. Ana pun tak pernah cakap apa yang ana rasa sebelum ni. Cuma sekarang ni, ana terfikir, mungkin ana boleh buat sesuatu kalau ada gitar. Bernasyid mungkin,”balas Ehsan positif. Unais mengangguk-angguk walaupun Ehsan ternyata tidak melihat.

“Boleh masuk NEXT?” Unais menyelit sedikit usikan. NEXT merupakan pertandingan nasyid yang menjadi penganjuran tetap komuniti pelajar Malaysia di Sheffield saban tahun. Sengaja Unais ingin mencungkil reaksi Ehsan bila diacah dengan pertandingan yang agak berprestij di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di United Kingdom itu. Ternyata usikannnya bersambut dengan suara Ehsan yang kedengarannya teruja.

“Haah kan? Boleh ana ajak adik-adik minat muzik join sekali. Jadi medium untuk ukhuwwah, dakwah dan tarbiyyah. Hari tu ana ada baca dalam buku The Wars Within Our Heart, salah satu penyelesaian untuk mengelak daripada mendengar muzik yang tak berfaedah ialah dengan menggantikannya dengan lagu-lagu nasyid.” Unais tersengih, tepat sangkaannya. Malah, Ehsan siap pula berkongsi bacaan yang diperoleh dari buku tulisan Habeeb dan Sa’ad Quadri.

“Ana sangat menyokong kalau anta ada visi untuk memanfaatkan bakat anta bermain gitar untuk kepentingan dakwah. Ana pasti ikhwah lain pun tidak melarang bahkan gembira. Selama ni, kita ni jadi geng-geng penonton je setiap kali NEXT, mana tahu lepas ni anta boleh bawa perubahan. Tak cuba tak tahu,”balas Unais, mendorong dengan penuh positif. Dia tahu menjadi tanggungjawabnya sebagai murabbi untuk memberi galakan yang dapat memastikan setiap langkah yang diambil oleh para mutarabbinya berlandaskan niat dan matlamat yang betul.

“Wah, tak sangka anta ni…”

“Tapi…”pantas Unais memintas. “Untuk bermula, tak semestinya perlu beli gitar atau alat muzik yang lain.”

“Ala…kenapa akhi?”Ada nada kecewa dalam suara Ehsan apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Unais.

“Kerana kita ni orang tarbiyyah. Budak usrah yang saban minggu berbulatan gembira, bukan sekadar untuk mendengar bicara tentang iman tapi untuk mengutip bekalan, membentuk amal, agar di luar usrah, iman kita masih terjaga, amal tetap terlaksana, tak terlalai dengan kehidupan dunia. Kita dididik untuk bertakwa yakni berhati-hati dengan setiap perkara agar terlindung dari perkara-perkara mungkar dan terdorong kepada perkara-perkara yang diredhai Allah.”

Penat berbicara, Unais ambil nafas seketika.

“Muzik ni Ehsan, subjek yang kita kena hati-hatilah. Anta tentu masih ingat apa batasan-batasan yang kita perlu jaga dan berhati-hati berkenaan dengan muzik. Kita pernah bincang dalam usrah dulu,”sambung Unais tenang. Tika itu, dia sudah membaringkan diri di atas katil. Tanpa sedar, mereka sudah berbual agak lama, hampir 30 minit.

“Ingat…” Ehsan terdiam sekejap. Unais senyum. Dia tahu apa yang sedang berlaku. Pasti adik usrahnya itu sedang menyelak-nyelak buku catatan usrah. Dia hampir pasti tentang tekaannya itu bila telinganya mengamati bunyi helaian buku diselak dari corong telefon. Aku pun kadang-kala macam tu bila naqib bertanya tiba-tiba, bisik hatinya.

“Ada lima. Pertama, kena berhati-hati dengan lirik lagu supaya tak ada satu perkataan pun yang bertentangan dengan syara’ apatah lagi mensyirikkan Allah. Kedua, alat muzik yang digunakan bukanlah sesuatu yang melalaikan sampai memainkannya membuatkan kita tertinggal solat atau melupakan Allah. Ketiga, penampilan kita perlulah menurut syara, tutup aurat. Lepas tu yang keempat pula, kena pertimbangkan akibat dia pada orang yang mendengar dan yang terakhir, kena jaga semua aspek supaya tak menyerupai orang kafir.” Lancar Ehsan melontarkan kembali buah perbincangan yang dirujuk daripada buku usrahnya. Bukannya tak ingat tetapi ingin lebih pasti. Sememangnya isu itu menjadi salah satu topik usrah yang terhangat.

“Laju betul anta baca. Haha…”Sempat lagi Unais menambah usikan disusuli dengan tawa kecil.

“Jadi apa kaitannya dengan isu ana nak beli gitar ni?” Ehsan tidak mempedulikan usikan Unais, langsung dia terus bertanya.

“Kaitannya, disebabkan murabbi anta ni sayang anta tahap tujuh petala langit, tak mahu mutarabbinya tergelincir dari jalan takwa, ana nak cadangkan anta untuk cuba dulu medium ni sebelum anta masuk lebih jauh dengan melabur masa dan duit. Tak perlu beli gitar dulu, pinjamlah siapa-siapa punya dahulu. Kalau dah betul-betul pasti inilah cara terbaik yang anta boleh gunakan untuk menyumbang pada dakwah, baru beli. Sebelum tu, cuba dulu guna gitar pinjam.”

“Pinjam?”Separuh kecewa, Ehsan meminta kepastian.

“Mestilah! Anta kena tengok diri anta ok ke tak dengan gitar kat sebelah. Macam poin nombor dua yang anta bagitahu tadi. Anta kena pastikan bermain gitar tak menjejaskan persiapan anta untuk usrah anta dan usrah yang anta pegang. Tak mengganggu qiam anta di malam hari. Tak melalaikan anta dari solat dan ingat pada Allah. Tak membuatkan anta tertinggal tilawah barang sehelai mukasurat. Kalau semuanya dah tersusun, anta nak beli sepuluh gitar pun boleh.“ Panjang lebar Unais bersyarah. Maklumlah, dah nama pun murabbi.

“Ana faham poin yang akhi nak sampaikan…”Ehsan pejam mata, cuba membayangkan kehidupannya dengan kehadiran sebuah gitar. Dia telan liur. Ada benarnya kata-kata murabbinya itu. Ditambah dengan faktor dirinya yang memang minat bermain gitar, tak mustahil memiliki gitar sendiri boleh melalaikan dirinya. Dia sedikit kecewa.

“Anta sedih ke?” Sengaja Unais bertanya bila Ehsan tidak menyambung kata.

“Tak adalah. Ana ok je. Rasa gembira pun ada sebab ada murabbi yang selalu bagi sokongan dan nasihat.” Pantas Ehsan menafikan. Lama pula dia berfikir bila mata terpejam tadi, ditambah pula dengan rasa kecewa yang singgah sebentar.

“Oh, ye ke…Ana baru je nak bagi anta pinjam gitar ana kalau betul anta sedih tadi,”balas Unais selamba.

“Eh, anta ada gitar?” Unais sengih. Mestilah! Teman sewaktu belum berusrah dahulu. Sekarang, hanya terdampar sepi di bawah katil. Oleh sebab mengenangkan dirinya yang tenggelam dengan gitar suatu ketika dahululah yang membuatkan dia terasa berat untuk menggalakkan mutarabbinya itu bermain gitar awal-awal tadi. Namun, dia memujuk hati agar bersikap optimis. Mutarabbinya itu berbeza dengan dirinya. Dia dahulu berdamping dengan gitar dengan kesedaran islam yang nipis sedangkan Ehsan sebaliknya.

“Nak pinjam?”

“Boleh…”

-tanah90
Johor

p/s: pernah maen quran challenge board game? di hari sabtu yang permai ini, jarang-jarang free dari program…macam sesuai je nak habiskan masa dengan game ni kan? 😀

Advertisements

About tanah

Just Allah's slave. seeking for a truth over a truth, love over love, strength over a strength, barakah over barakah, mardhotillah over mardhotillah and heaven after world.
This entry was posted in Cerpen and tagged , , , . Bookmark the permalink.

One Response to [Cerpen] Usrah Gitar

  1. kid says:

    piano?
    boleh pinjam?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s