[Cerpen] E.G.O Hanya Tiga Huruf

Assalamualaikum wrm.

Mari hapuskan ego
Untuk sebuah tarbiyyah yang hebat
Semoga bermanfaat!

[Cerpen] E.G.O Hanya Tiga Huruf

Dari jauh sudah kedengaran sayup-sayup suara penceramah yang sedang memberi pengisian melalui corong pembesar suara yang dipasang di setiap penjuru masjid. Sememangnya tujuan pembesar suara itu dipasang adalah untuk memberi peluang kepada penduduk setempat yang tidak berkesempatan ke masjid untuk mendengar ceramah yang sedang disampaikan. Rasydan tenang dan berhati-hati memarkir kereta di celah-celah kereta yang memenuhi perkarangan masjid. Sengaja dia datang lewat sedikit kerana tidak mahu bertembung dengan sesiapa yang dikenalinya. Malah, kali pertama dia berkunjung ke masjid tersebut, dia hanya mendengar ceramah dari dalam kereta sahaja. Malam itu, sudah masuk kali kelima dia hadir. Satu-satunya perkembangan ialah dia tidak lagi bersembunyi di dalam kereta tetapi mula turut serta dalam barisan jemaah untuk solat isyak.

Tuk! Tuk! Tuk!

Menyirap darah Rasydan bila cermin kereta di bahagian pemandu diketuk orang. Cermin kereta diturunkan lantas wajah seorang pemuda awal dua puluhan jelas di pandangan. Dia kenal wajah itu. Muhammad Unais. Seorang kawan lama. Antara orang-orang dalam senarai yang tidak mahu ditemui. Lebih-lebih lagi di situ.

“Aku nampak kereta kau masuk tadi. Aku pun terlambat juga. Kena hantar adik bongsu aku pergi tuisyen tadi. Jom masuk sekali?”ajak Unais mesra. Dalam samar-samar cahaya lampu masjid, Unais dilihatnya berbaju melayu ungu dengan senaskhah Alquran diletakkan di dalam poket di sebelah kanan dada. Rasydan gigit bibir. Dia hanya berseluar jeans dengan T-shirt yang bertulis University of Oxford tanpa Alquran dibawa. Bagaimana mungkin dia mahu menuruti ajakan tersebut. Tambahan pula, mereka berdua ada kisah lama meskipun Unais kelihatannya seperti tidak ingat apa yang pernah berlaku antara mereka.

“Jomlah?” Rasydan geleng kepala.

“Aku ok kat sini. Kau pergilah.” Dingin suara Rasydan menolak. Unais terdiam sejenak. Mereka berdua sebenarnya sudah lama tidak bertemu walaupun mereka belajar di universiti yang sama di Birmingham dan tinggal di kawasan yang sama. Malah, di Malaysia pun mereka duduk dalam kejiranan yang sama. Walaupun Unais ada mencari, Rasydan sentiasa mengelak dari bertemu dengan dirinya. Kuasa Allah, masjid Abu Bakar Ar-rasyidin malam itu menemukan mereka yang masing-masing sedang menghabiskan cuti musim panas di Malaysia.

“Kalau macam tu, aku teman kaulah kat sini.” Unais sudah bergerak menghampiri pintu penumpang di sebelah kiri. Rasydan gelabah. Dia cuba mengunci Proton Iswara milik keluarganya namun Unais lebih pantas untuk memboloskan diri ke dalam kereta. Rasydan tidak puas hati. Stereng dihentaknya sebelum bersuara keras.

“Apahal kau ni? Kita bukan kawan baik sekarang. Senang-senang je kau masuk dalam kereta aku?” Unais kelihatan tenang meskipun karakter Rasydan sudah bertukar garang. Dia percaya dua tahun tidak bersua tidak membuatkan dia lupa akan hati budi sahabatnya. Rasydan mungkin kelihatan garang sekarang, tetapi dia yakin Rasydan juga punya sifat belas kasihan yang tersembunyi.

“Kita dengar ceramah dulu Dan. Nanti kita cerita. Lagipun, ini tujuan kita datang kan?” Unais menarik picu yang terletak di bahagian kiri tempat duduknya dan menyelaraskan kerusinya agar lebih selesa tanpa menghiraukan mata yang sedang memandangnya penuh geram. Rasydan ketap bibir. Dia mengiringkan tubuhnya ke arah kanan, menghadap masjid yang terang disuluhi lampu-lampu kalimantang serta kelihatan hidup dengan aktiviti yang sedang berlaku di dalam.

“Kau tahu kawan-kawan kita yang lain pun ada kat sini malam ni? Ada usrah sebelum maghrib tadi.” Unais mula bersuara sebaik sahaja ceramah berakhir. Masih ada lebih kurang lima belas minit masa yang berbaki sebelum azan isyak berkumandang.

“Kawan-kawan kau. Bukan kita,”jawab Rasydan pendek. Suaranya tidak segarang tadi namun nadanya mendatar. Ada baiknya juga mereka meninggalkan keadaan yang tegang tadi sekejap. Sekurang-kurangnya, Rasydan sudah dapat merendahkan tahap kegarangannya.

“Kawan-kawan aku, kawan-kawan kau juga. Kita kan belajar di universiti yang sama, Dan.” Unais berhujah.

“Kerana dioranglah, kau dan aku dah tak lagi berkawan, Unais.” Unais mengeluh. Ayat yang sama pernah dilontarkan oleh Rasydan pada kali terakhir mereka bertemu di UK.

“Aku tahu kau marah bila aku dah tak banyak habiskan masa dengan kau sebab sibuk dengan hal-hal usrah. Aku dah tak tengok wayang dengan kau. Aku tak pergi tengok All England dengan kau. Tapi, aku cuba gantikan balik masa tu Dan. Aku ajak kau pergi main bola petang-petang dengan ikhwah tapi kau tak nak. Aku masakkan untuk kau tapi kau tak makan. Aku ajak kau solat jemaah pun kau tolak…”

“Cukup! Banyak alasan kau. Kau ingat aku marah sebab hal kecil macam tu ke?” Suara Rasydah sinis memintas. Unais berkerut dahi. Memang itu sangkaannya. Di awal-awal penglibatannya dalam usrah, dia memang tak pandai membahagikan masa. Akibatnya, banyak hak-hak ukhuwwah yang tak tertunai termasuklah hak Rasydan sebagai kawan baiknya sejak sekolah.

“Kau nak tahu kenapa aku marah? Sebab sejak berkawan dengan budak-budak usrah tu, kau berlagak baik sangat. Sedangkan selama ni, akulah yang selamatkan kau daripada masalah yang kau timbulkan. Setiap kali Unais! Setiap kali! Tiba-tiba, kau pula nak jadi baik. Masuk usrah bagai. Dulu, bukan setakat solat jemaah, tapi solat subuh pun aku kena kejutkan. Selama ini, akulah yang berbuih bagi nasihat pada kau. Aku ni lebih baik daripada kau.” Tanpa menunggu Unais bertanya, Rasydan sudah menyambung kata. Nada suaranya kembali meninggi, tercetus bila perihal lama dibangkitkan kembali. Itulah puncanya, Unais kini dianggap sebagai musuh.

“Rasydan…” Unais bagai hilang kata-kata. Dia baru sahaja mendengar sesuatu yang tak pernah diduganya terhimpun lama di dalam hati Rasydan. Rupa-rupanya, masalah mereka lebih berat. Tidak disangka Rasydan bukan tidak puas hati pada dia yang sudah jarang meluangkan masa bersama tetapi Rasydan marah pada perubahan dirinya. Hakikatnya, Rasydan tidak pernah tahu, kerana kebaikan yang dipamerkannyalah yang mencetuskan perasaan ingin berubah dalam hati Unais. Namun, belum sempat dia berterima kasih, Rasydan sudah tidak mahu bertegur sapa dengan dirinya lagi.

“Sebab tu ke kau tak nak masuk usrah bila Abang Long ajak? Sebab kau rasa kau lebih baik dari aku dan sepatutnya kau yang patut diajak masuk usrah dulu sebelum aku?” Rasydan senyap. Dia tidak mengiyakan soalan Unais namun jauh di sudut hatinya mengakui kebenaran itu. Ketika diajak berusrah, dia menolak bukan kerana tidak percaya akan kebaikannya. Malahan, sedikit demi sedikit dia dapat melihat impak sebuah usrah pada kawannya itu. Namun, dia berdegil tidak mahu merasai sedikit kebaikan itu kerana merasakan dia lebih berhak merasakannya terlebih dahulu sebelum Unais. Kerana itu, dia sering mengelak dari bertemu dengan kawan-kawan yang terlibat dengan usrah. Biarpun terpaksa mendengar ceramah dari dalam kereta atau solat jemaah di barisan belakang. Dia tewas pada makhluk bernama Ego.

“Tahukah kau ada seorang ilmuwan bernama Harun bin Abdillah pernah merasakan dia lebih baik dari anak muridnya lalu dia membiarkan mereka di bawah terik panas sedangkan dia berteduh di bawah teduhan pokok ketika mengajar? Imam Ahmad tidak memarahinya sebaliknya berkata, sikapmu mengusik hatiku.” Unais memetik sebuah kisah dari buku Virus-virus Ukhuwwah karangan Nasih Ulwan. Dia menyorotkan pandangan pada Rasydan yang masih berpeluk tubuh, tidak bersuara.

“Dan, aku pun begitu. Aku tak salahkan kau tetapi sikap kau mengusik hatiku. Tahu tak kau, melihat kebaikan kaulah yang memotivasikan aku untuk berubah? Sayang…kerana ego, kau bukan sahaja putuskan persahabatan kita, malah kau terlepas manisnya tarbiyah sebuah usrah.” Ada nada kesal dalam suara Unais. Separuh hatinya menyalahkan diri sendiri yang gagal mengesan punca sebenar masalah mereka. Separuh lagi menyesali masa yang terlalu lama dibiarkan berlalu tanpa mencuba apa-apa penyelesaian.

“Sekarang kau dah tahu semuanya kan? Tak perlulah kita bercakap lagi. Turunlah, isyak dah masuk ni,” ujar Rasydan masih berdegil. Azan isyak yang baru berkumandang dijadikan alasan untuk mengakhiri perbualan. Pintu kereta dibuka. Dia ingin keluar tetapi Unais pantas memaut tangan kirinya.

“Dan, usrah tak menjadikan aku lebih baik dari kau atau siapa-siapa tetapi usrah menjadikan aku lebih baik dari diri aku yang dulu. Hapuskanlah egomu kawan. Tak susah pun sebab ego tu hanya tiga huruf. Ada dua puluh tiga huruf lain yang boleh bergabung dan jadi lebih besar dari ego. Salah satunya iman. Lawanlah dengan imanmu kerana aku yakin iman boleh menewaskan ego biar sebesar manapun ia.” Unais memaut kejap lengan kawannya itu, seolah bimbang Rasydan mencari peluang untuk melepaskan diri. Dia dapat mendengar betapa panjangnya keluhan yang dilepaskan oleh Rasydan. Unais mematikan kata-katanya, sepertinya memberikan ruang untuk Rasydan berfikir dan refleksi diri. Lama kemudian, baru Rasydan bersuara,

“Jomlah kita solat.” Rasydan meminta tangannya dilepaskan. Unais menurut. Lagipun, kalau dilengahkan mereka akan terlepas solat berjemaah. Dia membontoti Rasydan yang laju mengorak langkah ke arah ruang utama masjid. Saat itu, usahanya memujuk Rasydan terbantut dan dia masih tidak tahu apakah hati Rasydan sudah berjaya dipujuk, sudah runtuhkah ego di hatinya atau adakah dia sudah bersedia melupakan kisah lama antara mereka. Unais raup mukanya yang sedikit berpeluh. Biarlah dahulu. Biar mereka solat dahulu, kerana doa juga perlu. Unais yakin Allah memerhatikan keadaan mereka.

-Tamat-

-tanah90
Johor

Advertisements

About tanah

Just Allah's slave. seeking for a truth over a truth, love over love, strength over a strength, barakah over barakah, mardhotillah over mardhotillah and heaven after world.
This entry was posted in Cerpen and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s