Interaksi dengan Quran 1.0 (Latarbelakang)

20140102-210650.jpg
kredit gambar

Assalamualaikum wrm.

Sejujurnya, saya tak pernah membaca buku berinteraksi dengan Quran yang ditulis oleh Yusuf Qordhowi ataupun mendengar sendiri secara live pengisian ini daripada mana-mana ustaz melainkan melalui recording sahaja semata-mata. Kebanyakannya datang melalui siaran tidak langsung ketika bulatan gembira atau melalui perkongsian ikhwah/akhawat di mana-mana program. Jadi, mungkin boleh assume saya ni sebagai tertiary sharer.

Saya pernah tertanya-tanya, apa perlunya berinteraksi dengan Quran. Jawapan yang saya temui mudah sahaja iaitu untuk kita merasa sentuhan Al-Quran. Seperti Umar Al-Khattab yang lembut hatinya ketika mengamati helaian Alquran yang dibaca oleh adiknya. Saya pula pertama kali tersentuh dengan AlQuran bukanlah ketika saya mengaji sehingga khatam sewaktu darjah enam. Pertama kali saya tersentuh dengan AlQuran ialah apabila diajak oleh seorang murabbi untuk berinteraksi dengan AlQuran hampir empat tahun yang lepas. Itulah pertama kali, saya bertilawah dengan maknanya sekali. Itulah pertama kali, saya mentadabbur makna ayat-ayat Quran yang dibaca. Itulah pertama kali, saya ditanya, apa yang saya rasa bila membaca ayat-ayat Quran tersebut. Hurm, rindu zaman tu.

Ada sebabnya kenapa saya memilih tajuk ini untuk dikongsikan. Salah satu sebabnya, saya sendiri merasa kering dengan interaksi saya dengan AlQuran. Kalau zaman dulu, zaman itu sangat innocent. Segala soalan murabbi nak dijawab. Berebut-rebut. Tetapi, setahun yang terakhir ni, saya mengalami masalah tak idea, tak ada apa-apa yang terlintas di hati ketika mentadabbur ayat-ayat Quran yang dibaca. Dengan anak-anak usrah pula, saya cepat rasa annoying bila tunggu anak-anak usrah buka mulut nak share hasil tadabbur mereka. Mungkin saya mengharapkan mereka seperti saya waktu mula-mula join usrah… semangat je nak share. Padahal, mungkin salahnya pada saya yang tak pandai mengajar mereka cara untuk berinteraksi dengan Quran. Ataupun, mungkin apa yang berlaku itu disebabkan interaksi saya dengan Quran sendiri yang kering.

Pernah ada satu peristiwa dalam setahun terakhir ni, bila saya merasa memang seperti tanah yang gersang… Saya cuai menjaga mutabaah amal saya. Ada masa-masa, saya tak baca Quran dalam sehari. Satu hari, seorang mutarabbi saya datang berkunjung. Soalan yang diberikan pada saya memang betul-betul menyentak hati. “Kenapa eh, sejak akhir-akhir ni, aku baca Quran tak rasa apa-apa?” Waktu tu, saya tahu jawapannya ialah sebab saya sendiri sebagai murabbinya tidak merasa Quran itu…

Di kesempatan ini, saya mahu menghidupkan kembali tanah yang gersang ini. Insha-Allah, semoga bertambah baiklah hendaknya interaksi saya dengan Quran dan sesiapa sahaja yang membaca. Moga interaksi kita bertambah subur, dan merasai sentuhan Quran itu seperti hujan yang menyejukkan ketika kemarau melanda, seperti bayu lembut yang menyapa tubuh ketika matahari tegak di kepala, seperti air yang diteguk ketika dahaga. Moga terkesannya kita dengan AlQuran ini membawa kita lebih dekat dan cinta pada pemiliknya AlQuran iaitu Allah SWT.

******
Sesuai dengan tajuknya iaitu latarbelakang, salah satu cara untuk kita berinteraksi dengan Quran ialah dengan mengetahui latarbelakang iaitu sebab turunnya ayat AlQuran atau asbabun nuzul.

Kenapa AlQuran tak turun sekaligus?

Soalan yang perlu ditanyakan mula-mula sekali ialah kenapa AlQuran tidak diturunkan sekaligus, seratus peratus? Jawapannya boleh dianalogikan iaitu AlQuran ibarat bumbung yang tiris. Air hujan tak turun semuanya sekali melainkan setitik demi setitik melalui tempat yang bocor tadi. Turunnya air hujan itu sesuai mengikut keperluan manusia. Sebabnya, hati manusia ini boleh menerima sesuatu secara sedikit-sedikit sahaja. Lagaknya seperti minum sebotol air. Seteguk yang diperlukan, seteguklah yang diminum. Kalaulah dicurahkan sebotol terus ke dalam kerongkong, alamatnya tersedak-sedak, tidak seperti ketika diminum seteguk demi seteguk. Contoh terbaik mungkin seperti peristiwa pengharaman arak yang diperintahkan secara berperingkat-peringkat kepada umat islam.

Peristiwa fizikal dan peristiwa emosional

Sementelahan pula, ayat-ayat Quran bukanlah diturunkan saja-saja melainkan oleh sebab berlakunya peristiwa-peristiwa. Ianya supaya lebih jelas difahami oleh Rasulullah SAW dan sahabat pada waktu itu, supaya lebih terkesan teguran, peringatan, nasihat dan pujukan yang difirmankan Allah pada hati Rasulullah SAW dan para sahabat pada waktu itu. Contohnya, bolehlah dipecahkan kepada dua iaitu peristiwa fizikal dan peristiwa emosional. Menurut kefahaman saya, peristiwa fizikal merujuk pada peristiwa-peristiwa yang menyebabkan turunnya ayat, sementara peristiwa emosional pula merujuk pada peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan perasaan Rasulullah dan para sahabat pada satu-satu ketika.

Biar saya bagi contoh sikitlah ea. Sebagai contoh untuk peristiwa fizikal adalah peristiwa ketika nabi menerima tawaran daripada orang kafir Quraisy yang berbunyi begini: “Wahai Muhammad, marilah, biar kami sembah apa yang engkau sembah dan engkau sembah apa yang kami sembah. Kami dan kamu sama-sama berkongsi urusan ini. Kalau apa yang kamu sembah itu lebih baik daripada apa yang kami sembah bererti kami telah mengambil habuan kami daripadanya, dan kalau apa yang kami sembah lebih baik daripada apa yang kamu sembah bererti kamu telah mendapat habuan kamu daripadanya.” Lalu, turunlah ayat 1-6 surah alkafirun.

(sumber: Sirah Nabawiyah, Safiyyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri, terj. Muhammad Ramzi Omar, terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, ms. 114)

Contoh-contoh lain adalah seperti ketika Abu Lahab dan isterinya mengacau dan menyakiti Rasulullah SAW, Allah SWT mengirimkan firmannya dalam surah al-Lahab… dan, bermacam-macam lagi.

Kalau untuk peristiwa emosional pula, contohnya ialah pada ketika Rasulullah SAW berduka ketika wahyu terputus sementara lalu turunlah surah Ad-Dhuha. Ada juga disebutkan tentang turunnya surah al-kauthar ketika baginda SAW sedang bersedih dengan kematian anak lelakinya yang diharap dapat menyambung tugas kenabiannya. Dan banyak lagi contoh-contoh yang boleh dicari sendiri dan difahami.

Alangkah hebatnya rancangan Allah SWT tentang penurunan AlQuran bila satu-persatu ayat diturunkan bersesuaian dengan apa yang sedang berlaku pada Rasulullah SAW dan sahabat. Walaubagaimanapun, seperti yang kita semua tahu, mengalami sesuatu peristiwa tak sama dengan mendengar pengalaman orang yang melalui peristiwa tersebut. Menjadi mangsa bencana alam tak sama dengan membaca berita mengenai bencana tersebut di dada akhbar.

Saya dan kita semua, lahir-lahir sahaja, AlQuran dah habis turun. Sah-sahlah, kita memang tak dapat merasa apa yang dirasa oleh para sahabat ketika AlQuran turun. Jadinya, nak tak nak untuk kita berinteraksi dengan Quran, kita perlu tahu asbabun nuzul. Kita perlu tahu sirah. Memang tak semua ayat kita tahu asbabun nuzulnya tetapi, setiap ayat AlQuran pasti ada asbabun nuzulnya.

Sirah fakta dan sirah hati

Bukanlah sirah yang mencatat fakta seperti tempat, tarikh, bilangan orang yang terlibat, nama sahabat yang terlibat, isi kandungan perjanjian dan sebagainya yang perlu kita titikberatkan untuk berinteraksi dengan Quran. Sirah yang kita ingin hayati untuk berinteraksi dengan Quran ialah sirah yang dekat di hati. Sebuah penceritaan kembali yang memberi bayangan apa yang sedang berlaku sebenarnya waktu itu. Macam baca novel. Sedangkan, sirah fakta pula macam buku teks sekolah yang mengandungi poin-poin penting tentang sesuatu peristiwa. Fungsinya, untuk membantu kita mudah ingat ketika ujian. Pernah tak kita ditanya apa yang kita rasa bila belajar tentang kekalahan umat islam dalam perang Uhud? Yang pernah ditanya mungkin, siapakah yang dibunuh dan dimakan hatinya oleh Hindun ketika perang Uhud?

Kesan tahu sirah dengan hati

Berbanding dengan sirah hati, penceritaannya selalu melibatkan dialog-dialog di mana, emosi atau suasana peristiwa ketika itu jelas. Dari sini, akan terbitlah emosi apabila kita membacanya. Insha-Allah, emosi yang terbit itu dapat membantu kita merasakan yang hampir sama dengan apa yang dirasa oleh para sahabat dahulu. Maka, dapatnya kita merasa dan menghayati peristiwa-peristiwa dahulu, dapatlah juga kita memahami dengan hati yang jelas akan ayat-ayat Quran yang bersangkutan dengan peristiwa-peristiwa itu. Insha-Allah, kita dapat berinteraksi lebih baik dengan AlQuran.

Next Step

Antara novel sirah yang inshaAllah sedikit sebanyak dapat membantu kita menghayati asbabun nuzul ayatul Quran dan berinteraksi dengannya ialah tak lain tak bukan Raheeq Maktum atau versi Bahasa Melayunya ialah Sirah Nabawiyah. Alhamdulillah thuma Alhamdulillah, di zaman yang kehadapan ini, kita boleh juga menonton video sirah di Youtube seperti Omar Series untuk cuba merasai berada dalam garis masa para sahabat. Saya pun sedang berusaha menghabiskan buku Raheeq Maktum ni yang tak habis-habis dibaca walaupun bak kata ustaz, “enam ratus muka surat je.”

Akhir kata, pesan saya, kalaulah anda yang membaca merasa seperti saya yang mengalami kegersangan pada diri, iman dan amal malah hati juga, janganlah berputus asa… Ada banyak cara untuk kita kembali menyuburkannya semula. Dan salah satunya pasti dengan membasahkan kembali interaksi kita dengan Quran, insha-Allah.

-tamat versi 1.0-

Mereka yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya
-George Santayana

Wassalam
-tanah90

Advertisements

About tanah

Just Allah's slave. seeking for a truth over a truth, love over love, strength over a strength, barakah over barakah, mardhotillah over mardhotillah and heaven after world.
This entry was posted in interaksi dengan Quran, Tinta Tarbiyyah and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s