[Cerpen] Pelangi Kita, Bulan Kita

Assalamualaikum wrm.

Cerpen ni pada mulanya saya tulis semata-mata untuk sebuah sayembara..namun semakin saya fokus pada cerita saya, semakin saya jatuh hati pada subjek penceritaan saya. Lebih-lebih lagi salah seorang sepupu saya (second cousin) merupakan kanak-kanak istimewa juga. Memang seringkali dia terbayang di fikiran sewaktu saya siapkan cerpen ini. Pada akhirnya, memenangi sayembara ini mungkin suatu bonus tetapi berjaya menjadi antara 100 karya terpilih akan buat saya sangat gembira. Lebih kerana cerpen ini adalah tribute untuk mereka yang menjadi sebutan saya dalam cerita ini.

So, enjoy!

[Cerpen] Pelangi Kita, Bulan Kita

Semput! Terserlah staminaku yang lemah apabila ditarik untuk berlari sejauh 200 meter oleh Hilal. Dia pula kelihatan bertenaga dan penuh keterujaan, mengheret langkah kakiku ke hujung padang Sekolah SAFI. Aku kira stokin kelabu dan kaki seluar hitamku pasti penuh tertusuk daun semalu apabila kami berhenti nanti. Mujurlah hari masih lembap dek hujan sebentar tadi. Tidaklah aku dan Hilal berhujan peluh pula.

“Hilal, sudahlah tu…Kakak penat,”pintaku tercungap-cungap. Namun, dia seakan tidak peduli. Hanya mentertawakan aku sambil dia terus menuntunku untuk berlari sama.

“Hilal sayang…”panggilku lagi. Sengaja aku lepaskan gengggaman tanganku untuk menarik perhatiannya. Lariannya terbantut. Dia berpaling dengan muka berkerut. Ketara muncung bibirnya. Sambil berpeluk tubuh dan berdiri tegak, dia merenungku marah. Aku pula terbongkok-bongkok, cuba meredakan nafas yang kencang.

“Kakak penat, sayang! Kita tengok dari sini je la. Kat sini pun nampak pelangi.” Aku cuba memujuK. Namun, tak mudah memujuk insan istimewa seperti Hilal. Meskipun sekali pandang, dia mungkin kelihatan normal, namun hakikatnya dia mengalami masalah perkembangan akal. Lebih tepat lagi, Hilal adalah insan autism.

“Nak pelangi! Nak pelangi!” Hilal mengulang permintaannya sejak kami minum petang tadi. Aku gigit bibir. Tubuh berusia tiga belas tahun itu aku raih lembut. Hilal sedikit degil dan cuba membantah. Dia membatukan diri. Aku tersengih dengan responnya. Salah teknik ni, aku berbisik dalam hati. Sambil berdiri di sisinya, aku tunjuk pada pelangi yang terlakar indah di dada langit. Mata Hilal mengekor hujung telunjukku.

“Tu pelangi.” Aku berbisik di telinganya. Perlahan-lahan aku tarik tangan kanannya yang kejap di dada. Aku luruskan telunjuk kanan Hilal agar mengarah ke arah yang sama. Dua minggu dikelilingi insan-insan istimewa di Sekolah SAFI ini sudah cukup memahamkan aku tentang keperluan visual dalam komunikasi bersama mereka.

“Kita tengok pelangi. Kita duduk kat sini, boleh?” Aku arahkan pula tangan kanannya ke rumput-rumput yang menghijau di sekitar kaki kami. Hilal tunduk. Dia melilau seketika. Sekejap dia melilaukan pandangan ke langit yang melatari sang pelangi. Sekejap dia memerhatikan pula permaidani hijau di bawah. Lama juga aku menunggu sehingga akhirnya, dia akur. Sama-sama, kami melabuhkan punggung. Rumput masih sedikit basah namun tidak pula menjejaskan kami berdua.

“Cannnn…tikk! Cantik! Cantik!” Hilal teruja. Dia melepaskan tawa sambil memaut lengan kananku. Kepalanya dilentokkan ke bahuku sambil matanya tak lepas pada pelangi di atas sana. Tercarik senyuman di wajahku melihatkan telatahnya. Aku melunjurkan kaki supaya kepala lututku tidak menganggu Hilal yang ingin bersandar di sisiku.

“Cannn…tikknya pelangi kakak! Cannn..tiknya!” Tidak jemu-jemu Hilal memuji. Makin lebar senyumanku, Makin banyak sayu yang bertandang di hatiku. Senyum kerana telatah jiwa suci ini membahagiakan petangku. Sayu kerana hati bersih ini sangat menghayati keindahan Tuhan yang satu. Dan, semuanya mengingatkan aku pada seseorang yang mirip sepertinya. Suara Hilal akhirnya beransur-ansur hilang. Aku tenggelam dalam lamunan.

***
I

Dari bulan ke Pencipta-Nya

Malam gelap, awan berarak. Kata orang, itu tandanya nak hujan. Bagi aku, masa inilah paling mengujakan untuk mengintai hadirnya sang bulan. Munculnya sekejap cuma, hanya untuk mereka yang benar-benar menghargai. Malam itu, sang bulan bertambah cantik dengan awan menggebu di kiri dan kanannya.

“Cantiknya,” pujiku spontan sambil melabuhkan punggung ke satu-satunya kerusi batu yang ada di bumbung Pangsapuri Pulai Utama, bangunan kediamanku sejak dua tahun yang lalu. Sejak ibu bapaku meninggal dunia, di situlah aku berlindung memandangkan adik-beradikku yang lain memilih untuk tinggal di luar negeri. Lagipun, pangsapuri ini lebih dekat dengan Sekolah Rendah Taman Sri Pulai, tempat aku mengajar.

“Macam gitulah bila lihat Allah nanti!” Aku tersentak apabila pujianku bersahut. Aku toleh ke belakang. Wajah seorang wanita bertudung labuh enam puluh inci menyapa mata. Kelihatannya, dia baru sahaja keluar dari ruang tangga yang menuju ke tingkat bawah pangsapuri. Dalam samar malam, aku agak usianya lebih kurang usiaku juga; dalam pertengahan dua puluhan.

“Apa maksudnya?” Aku bertanya kurang faham. Dia tidak menjawab terus tetapi berjalan ke ruang kosong di kerusi yang aku duduki.

“Boleh duduk?” Aku senyum, lantas mengangguk. Sejujurnya, aku tidak sabar mendengarkan jawapannya namun aku kekal menunggu. Dia melemparkan senyuman manis kepadaku sebelum mengatur kata.

“Dalam sebuah hadis ada disebutkan apabila Rasulullah S.A.W ternampak bulan, baginda bersabda, macam itulah bila kita lihat Allah di akhirat nanti…” Ringkas dia bercerita namun aku masih keliru. Mungkin ilmu agamaku yang cetek menghalang aku daripada menyerap masuk perkongsiannya itu.

“Tak faham ye?” Aku tersengih, lebih busuk daripada kerang yang sering menjadi mangsa perumpamaan senyuman yang buruk. Aku tersipu-sipu dalam gelengan.

“Rasa kagum. Rasa menghargai. Rasa mencintai kecantikan. Semuanya hadir bila kita melihat bulan malam ni kan?” Dia berhenti seketika, mengalu-alukan aku untuk mengangguk, menyetujui kenyataannya. Aku memandang wajahnya, menanti sambungan.

“Semua rasa itu akan kembali lagi apabila kita dapat lihat Allah pula. Malah, mungkin lebih dalam lagi perasaannya bila kali itu, kita jumpa Yang Menciptakan bulan pula,” terangnya lembut sambil mata tertancap pada sang bulan. Aku sedikit terkelu sesudah dapat menangkap maksud yang dia ingin sampaikan. Sungguh dalam sekali.Terus menangkap ke jiwaku. Dari sebuah renungan pada sang bulan, aku dibawa terus untuk merenung sebuah pertemuan dengan pencipta-Nya. Sebuah pertemuan yang hanya berlaku andai aku cukup beriman dan bertakwa. Pertemuan di syurga tertinggi dengan ganjaran tertinggi. Melihat wajah Allah, yang menciptakan bulan. Juga yang menciptakan aku.

“Apapun, kita tak betul-betul kenal lagi. Saya Asma’. Baru je pindah kat flat ni. Tingkat empat. Kerja kat sekolah SAFI.” Ringkas dan padat dia membuka ruang perkenalan, terus mematikan monolog dalamanku. Sekali lagi, aku menghadiahkan sengihan basi. Tergagap-gagap, aku membalas.

“Insyirah…eh, insyi je…eh, nak panggil insyirah pun boleh…”Kalut jawapanku, mengundang tawa kecil di bibir dia yang baru kukenali sebagai Asma’.

“Nak panggil Insyi ke Insyirah?” Aku tersenyum malu. Perlahan aku menjawab.

“Insyi je.” Dan, kami terus berbual. Tentang aku dan kehidupanku. Tentang dia dan kehidupannya. Malam dua haribulan lima tahun dua ribu menjadi saksi.

***
II

Sayang Awak Fillah (SAFI)

“Patutnya, Sekolah Sayang Anakku Fillah kan? Kenapa tulis sayang awak fillah?” Aku meluahkan kemusykilanku tentang interpretasi Asma’ yang berlainan dengan maksud sebenar akronim SAFI. Sekolah SAFI ditubuhkan khas untuk menaungi anak-anak istimewa sama ada kecacatan anggota ataupun kecacatan akal. Dan aku masih ingat nama panjangnya ialah Sekolah Sayang Anakku Fillah. Asma’sedang menulis nama dan tempat kerjanya di mukasurat pertama novel The Kite Runner, karangan Khaled Hosseini. Sesekali angin petang di bumbung pangsapuri kami membuatkan beberapa helaian pertama novel itu terselak. Sejak pertemuan pertama kami, menghabiskan sisa-sisa siang di situ sudah menjadi rutin harian kami berdua pula. Asma’ menyungging senyuman di bibir sambil tangan kirinya menutup novel di tangan. Belakang tubuh disandar pada kerusi batu.

“Sebab mereka bukan anak-anak saya. Tak bolehlah nak panggil sayang anakku fillah. Saya selalu cakap pada mereka, sayang awakkk semuaaa fillah. Lagipun ada yang dah sebaya dengan budak sekolah menengah. Macam tak sesuai nak jadi anak saya,” ujar Asma’ sambil tertawa kecil. Ada sinar bahagia di wajahnya tatkala ungkapan sayang awak fillah itu diucapkan. Dia sempat mengerling ke wajahku yang nyata terkesima dengan jawapannya. Aku gigit bibir sambil memandang figur yang bergelar guru pendidikan khas itu.

“Tau kan apa maksud sayang awak fillah?” Aku mengulum senyum, tersipu-sipu. Fillah. Satu jargon yang selalu kedengaran di telingaku namun tak pernah pula aku peduli untuk memahami maksudnya.

“Err…kalau saya jawab tak tahu?” soalku teragak-agak. Asma’ mengulum bibir sebelum menjawab.

“Ermm…kerana Allah. Sayang awak kerana Allah. Seperti doa yang selalu kita baca di penghujung mathurat. Ya Allah,kembangkanlah naungan rahmat-Mu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami…kerana Allah, kita sayangkan semua orang. Kerana Allah, kita doakan semua orang. Kerana Allah, kita tolong orang. Sebab kita duduk dalam dunia yang sama. Berkongsi langit yang sama, pelangi yang sama, siang malam yang sama, bulan yang sama. Dan Allah juga.” Panjang lebar penjelasan Asma’. Terkebil-kebil aku melayan kepetahan bicaranya. Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Okay. Saya faham bahagian tentang sayang ‘kerana Allah’ tu atau tolong orang ‘kerana Allah’…” Sempat aku membuat gaya dengan kedua-dua jari hantu dan jari telunjukku membentuk simbol ‘buka ungkapan’ dan ‘tutup ungkapan’.

“Yang saya tak faham…kenapa mereka? Kenapa anak-anak istimewa tu yang jadi pilihan?” Aku terus ingin menagih jawapan.

“Sebab…” Dia menghela nafas perlahan. Kemudian, dihirupnya pula udara petang dalam-dalam. Sesekali tudung labuh enam puluh incinya terbuai-buai ditiup angin. Begitu juga selendang yang tersarung di kepalaku.

“Sebab mereka tu permata-permata yang Allah pinjamkan sekejap ke dunia. Besar pahalanya kita menyantuni mereka. Lagipun, saya harap… andai ditakdirkan Allah menarik balik nikmat sihat anggota atau akal saya, Allah tak tinggalkan saya sendirian di dunia…Kerana apa yang saya tahu dan faham, insan-insan istimewa itu bukan wujud suka-suka. Mereka hadir memberi peringatan pada kita. Setiap yang kita punya di dunia ini milik-Nya. Datang daripada Allah, akan kembali bila-bila masa sahaja kepada-Nya.” Lirih suaranya menyentuh kalbu. Tak pernah terfikir di kepalaku untuk berfikir sejauh itu. Sedikit demi sedikit rasa insaf menyelinap masuk ke dalam hati. Hati manusia seperti aku yang sering alpa. Sering terlupa. Pada Allah.

“Okay. Awak pula cerita. Kenapa nak jadi guru? Dan, kenapa subjek kimia yang jadi pilihan kalbu?” Sedikit bermadah Asma’ menjuruskan perbualan tentang kehidupanku pula. Aku tersengih lebar. Mula-mula, aku tak tahu dari mana hendak bermula. Namun, tanpa sedar, aku sudah pun rancak bercerita. Berkongsi cerita, berkongsi petang.

***
III

Pelangi Kita, Bulan Kita

Dua tahun kita berkongsi cerita, berkongsi ruang. Kadang-kadang disaksikan pelangi. Kadang-kadang bersaksikan sang bulan. Namun, satu perkara aku tak pernah tahu. Asma’ menghidap penyakit ketumbuhan di otak. Tiadalah sesiapa yang patut disalahkan dalam hal ini melainkan diriku sendiri. Sepatutnya, aku sudah dapat menduga sejak kali pertama dia bercerita tentang pelajar-pelajar istimewanya. Tentu dia terbayangkan dirinya dalam setiap anak-anak itu.

“Manusia. Bila sesuatu perkara itu terjadi pada diri mereka atau orang-orang yang terdekat pada mereka, barulah mereka sedar.” Bait-bait ini pernah diucapkannya di suatu petang. Aku masih ingat kala itu, dia bersedih hati apabila Sekolah SAFI kekurangan dana untuk membina blok baru. Kebanyakan penyumbang merupakan ahli keluarga pelajar atau syarikat-syarikat swasta yang prihatin. Jarang-jarang ada individu-individu yang dermawan datang berkunjung. Hari ini, baru aku sedar. Mungkin sahaja dia sebenarnya sedang bercakap tentang dirinya sendiri.

“Asma’…” Lirih aku menyebut namanya. Dia datang dalam hidupku tanpa dipinta. Tatkala dia mahu pergi, aku tak bersedia. Ironinya.

“Insyi…” Suara lemah itu bersuara. Aku tersenyum hambar memandang empunya suara yang terbaring di atas katil hospital. Wajah pucat tak berdarah, bibir kering mengelupas, rambutnya juga kelihatan tak bermaya meskipun sudah kusisir rapi. Mujurlah dia diberikan bilik persendirian, terjaga sedikit auratnya.

“Kenapa menangis?” Dia cuba mengeluarkan suara. Riak risau terpancar di wajahnya. Aku pula, gatal hendak bersedih di tepi katil. Sangkaku, Asma’ lena dalam lelapnya. Cepat-cepat aku menyapu titis air mata yang berlinang di pipi. Aku geleng perlahan.

“Tak ada apa. Terimbau kenangan lama. Dari awal perkenalan kita. Hingga akhirnya berada di sini. Takdir yang tak pernah terjangka,” jawabku sayu. Terlukis senyum di wajahnya yang pucat lesi. Dia cuba menggenggam erat tanganku yang terjangkau dek jari jemarinya. Namun, lemahnya cengkaman jari-jarinya sungguh terasa.

“Insyi masih duduk di bumbung tiap-tiap petang?” Aku mengangguk. Kalau boleh, aku mahu dia berehat sahaja. Tak perlu berbual. Rehat sahaja.

“Rehatlah banyak-banyak. Nanti dah sembuh, boleh kita duduk sama-sama.” Aku cuba mematikan perbualan. Penuh berhati-hati aku mengangkat sedikit kepalanya, aku tepuk-tepuk sedikit bantalnya. Kemudian, aku betulkan pula selimutnya. Malam itu, giliran aku menemani dia. Sukarela aku menawarkan diri untuk bergiliran dengan ibu bapa Asma’ yang kini menghuni rumah Asma’ di pangsapuri Pulai Utama. Pelawat-pelawat lain seperti kawan-kawannya daripada Sekolah SAFI, jiran-jiran dan saudara-mara lain hanya dibenarkan masuk ketika waktu melawat sahaja. Tiba-tiba, Asma’ menahan tanganku. Dia kembali menggenggam lenganku. Kali ini, lebih kejap.

“Kalau saya tak dapat temankan Insyi lagi, Insyi jangan duduk seorang. Ajaklah orang lain temankan awak…” Aku dihentak debar. Paling aku tak suka bila orang yang aku sayang berpesan-pesan begitu. Lebih-lebih lagi ketika mereka sedang terlantar sakit. Sebab aku tahu. Itu tandanya mereka sudah bersedia untuk pergi.

“Apa Asma’ cakap ni?” Aku bersuara tidak selesa. Aku bersandar kembali ke kerusi plastik merah di sisi katil.

“Saya nak awak kongsikan pelangi kita, bulan kita pada orang lain. Biar benar-benar jadi milik kita semua. Biar orang lain pun merasa cinta, rasa menghargai, syukur dan segalanya.” Aku geleng kepala.

“Awak sembuh, kita buat sama-sama.” Aku cuba berkeras untuk mengabaikan kata-katanya. Aku dengar dia mengeluh perlahan dengan kedegilanku.

“Saya takut saya lupa. Awak tahu, kan? Risiko untuk saya hidup normal meskipun pembedahan berjaya sangat tipis. Lebih baik cakap sekarang…” Aku ketap bibir. Air liurku terasa kesat. Sukar untuk aku menerima kenyataan itu.

“Kena terus berharap dan berdoa,” tegasku perlahan. Asma’ tersenyum nipis. Pandangannya difokuskan pada aku. Dia menarik sedikit tanganku, tanda dia mahu aku melihat ke wajahnya.

“Hei, tengok sini,” pintanya dalam tak terdaya. Perlahan, aku alih mata terus menatap wajahnya.

“Janji dengan saya, awak akan buat apa yang saya suruh?” Air liurku terasa semakin kesat menuruni kerongkong. Wajahnya memancarkan harapan. Sedikit sinar di mata terus menantikan jawapan. Akhirnya, aku akur. Keputusan yang tanpa aku ketahui, akan memberi impak yang besar dalam kehidupanku.

Tujuh belas April tahun dua ribu dua. Pembedahan Asma’ tidak berjaya. Berlaku komplikasi yang meragut nyawanya. Aku merelakan pemergiannya.

***
“Ya Allah..jangan kau biarkan hati ini rindu padanya lebih dari aku rindu pada-Mu..” Ucapan sayu meluncur perlahan dari mulutku. Hatiku saat itu benar-benar dipagut rindu yang amat sangat pada dia. Itulah padahnya bermain dengan memori. Aku pejam mata seketika, cuba menghilangkan ngilu di hati. Sekilas aku menoleh pada Hilal yang sudah tertidur di bahuku. Ah, terubat sedikit rindu di hati.

“Janji sedang kutunaikan, Asma’…” Aku pandang pada pelangi yang semakin memudar dimamah senja. Berkongsi cerita, berkongsi tentang Pencipta. Bukan sahaja pada anak-anak istimewa seperti Hilal, tetapi pada pelajar-pelajar di sekolahku juga. Sungguh, keindahan alam perlu dikongsi dengan semua. Biar semua orang kenal pada pencipta. Lebih-lebih lagi manusia yang berakal sempurna.

“Pelangi dah hilang…” tutur Hilal kecewa. Dia yang baru terjaga seakan mamai. Terpisat-pisat dia menggosok mata sambil mencari-cari kemana perginya sang pelangi. Aku kira sudah tiba masanya kami berangkat pulang. Hilal ada rutin yang perlu dituruti. Aku mengajak dia bangun.

“Esok, kita cari lagi.” Pendek jawapan yang aku beri sambil menuntunnya pulang. Senja sudah berlabuh. Hari ini sudah berakhir. Namun, esok masih ada. Esok, aku akan kembali lagi. Kembali menunaikan janji. Kerana sebenarnya aku rasa beruntung. Rasa bertuah. Rasa bersyukur. Pertemuan dengan Asma’ banyak menyedarkan aku betapa seharusnya aku bersyukur dikurniakan akal sempurna. Dan, betapa besarnya keprihatinan yang perlu sebuah akal sempurna tumpahkan pada yang kurang sempurna. Ianya suatu tanggungjawab yang perlu dikerjakan. Maka, janjiku pada Asma’ akan tetap berjalan.

-Tamat-
tanah90, 24/4/2014

Advertisements

About tanah

Just Allah's slave. seeking for a truth over a truth, love over love, strength over a strength, barakah over barakah, mardhotillah over mardhotillah and heaven after world.
This entry was posted in Cerpen and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s