[Cerpen] Es Aiesha

[Cerpen] Es Aiesha

 
Aiesha langsung tidak berganjak daripada sofa meskipun slot drama di kaca televisyen sudah agak lama tamat. Jelas fikirannya menerawang, bukan tertumpu pada tayangan televisyen. Di tangan kirinya ada sebuah buku tulisan Abu ‘Ashim Hisyam, Virus-virus ukhuwwah. Sebenarnya, hatinya dilambung gundah apabila menelaah setiap baris kata yang terdapat di dalam buku itu. Setiap bait-bait kata yang ditulis mengingatkan dia pada hubungan persahabatannya dengan Kinah. Kinah, seorang sahabat yang berjasa besar dalam kehidupannya sedikit masa dulu. Dialah yang menyedarkan Aiesha tentang hakikat iman, hakikat penciptaan manusia, tujuan hidup di dunia dan banyak lagi. Tanpa bantuan Kinah, dia pasti hilang arah tujuan.

 
Dia sangat menghargai setiap bantuan, dorongan dan yang lebih penting lagi ukhuwwah yang diberikan oleh Kinah. Aiesha sejujurnya mengakui, keberadaan Kinah di sisinya sepanjang dia cuba mengubah dirinya ke arah yang lebih baik telah menyuburkan rasa sayang Aiesha pada Kinah. Aiesha tidak mahu kehilangan sahabatnya yang seorang itu. Dia mahu persahabatan itu terlerai kerana kematian bahkan bersambung sehingga ke pintu syurga. Akan tetapi, petikan terakhir yang baru dibacanya tadi menggusarkan perasaannya.

 
Ukhuwwah Islamiyyah (persaudaraan islami) adalah hubungan alami sesuai dengan fitrah yang tidak menyimpang menjadi nafsu berahi, dan tidak pula menjadikan seseorang tergila-gila, bahkan tidak sampai pada batas di mana peribadi seseorang lebur dalam diri sahabatnya.

 
Perasaan gusar itu sudah tidak terbendung ketika menelusuri ayat-ayat seterusnya.

 
Bentuk lainnya adalah hubungan yang lebih berbahaya ketimbang bentuk hubungan yang baru saja disebutkan, iaitu hubungan suka dan ketertarikan sehingga sampai pada satu tititk di mana ia mencintainya ‘bersama’ Allah dan bukan ‘kerana’ Allah. Dengan hubungan seperti ini, ia sanggup melakukan beberapa amalan ‘ibadah’ untuk orang yang dicintainya.

 
Lalu, dia terperosok di sofa, memutar kembali beberapa memori bersama Kinah.

 
“Kinah, jom kita baca Quran bersama-sama?” ajak Aiesha pada suatu ketika. Ada masa-masa, dia begitu terbuai dengan suara Kinah mengalunkan bacaan Quran sehingga terlupa untuk menghayati makna wahyu Allah itu.

 
“Kinah, nanti kita bangun qiam ya,” seru Aiesha dari balik pintu. Ada kala, hatinya berbunga-bunga untuk bangkit qiam untuk bersama-sama Kinah – bukan rasa rindu untuk menghadap Tuhan.

 
“Sedapnya Kinah masak!” Pujian Aiesha melambung tinggi ketika mereka berbuka puasa bersama-sama. Dia masih ingat betapa gembiranya dia untuk berpuasa hari itu apabila Kinah ingin menghidangkan makanan kegemarannya sebagai juadah berbuka.

 
Aiesha memicit-micit kepalanya tatkala bayangan-bayangan itu menerjah ke dalam fikiran. Adakah itu cinta terpesong yang dikaburi dengan perkataan ‘ukhuwwah islamiyah’? Dia menggeleng-gelengkan kepala. Dia pejam mata sambil hatinya memanjatkan doa pada tuhan. Dia tidak mahu kembali seperti dahulu. DIa tidak mahu ukhuwwahnya dengan Kinah dinodai dosa. Cukuplah dia mengotorkan diri dalam cinta melawan fitrah sekian lama dahulu.

 
“Aiesha… “ Suara Kinah yang tiba-tiba muncul merenjat lamunan Aiesha. Dia cuba tersenyum pada gadis yang sudah duduk disisinya di sofa itu. Senyumnya terasa hambar kerana senyum itu sekadar menyelindungkan gelisah di jiwanya saat itu. Kinah bersandar sambil memegang telefon bimbit di tangan kanan. Aiesha mencuri jeling pada skrin telefon gadis itu. Kinah yang sudah lengkap berpakaian tidur mencuri sedikit masa untuk membaca surah Al-Mulk. Agak tersengguk-sengguk dia membacanya. Aiesha mengambil kesempatan itu untuk menjadi pendengar sementelah dia terasa malas untuk menuruti bacaan Kinah.

 
Kurang sepuluh minit, Kinah bangkit apabila ngantuknya sudah tidak tertahan.

 
“Jom tidur! Saya dah ngantuk sangat ni!” Selamba dia menarik lengan Aiesha sambil menutup mulut menahan kuap. Dengan emosi yang sedikit terganggu, perlakuan biasa Kinah membuatkan Aiesha melatah. Spontan, tangan Kinah yang memegang lengannya ditepis. Kinah terkejut. Tidak berkelip dia memandang Aiesha.

 
“Maaf… maaf, Es tak sengaja…” Aiesha cepat-cepat meminta maaf. Dia juga terkejut dengan tindakannya. Namun, tidak pula dia tersedar dia membahasakan dirinya sebagai Es, bukan Aiesha. Kinah bertambah terkejut.

 
“Es?” Aiesha tersentak. Baru dia tersedar. Nama panggilan itu tidak seharusnya wujud lagi. Pandangan mereka bertaut. Kenangan lalu kembali bertandang.

 

***

Demonstrasi Palestin di hadapan Bangunan Lembaga Tabung Haji (LTH) baru sahaja berakhir. Sebaik sahaja orang ramai yang terlibat bersurai dan membawa haluan masing-masing, Es segera memecut laju motorsikalnya memasuki halaman bangunan LTH itu. Dia turun dari motornya dan menoleh ke belakang. Seorang gadis berbaju labuh dan berseluar longgar hitam sedang berehat di bawah sepohon pokok api-api. Tudungnya juga labuh. Mata mereka bertemu. Es menghela nafas pendek sebelum membuka helmet.

Es melihat gadis bertudung labuh itu terpana sementelah dia menyerlahkan wajah comel seorang gadis berambut pendek ala Josh Butcherson, pelakon filem ‘The Hunger Games: Mockingjay’. T shirt longgar Es pula memaparkan sebuah gambar wanita dan tulisan ‘Real Men don’t abuse women’. Pakaiannya dilengkapkan dengan sepasang jeans paras lutut, stokin putih dan kasut sukan bertali kemas.

“Tentu dia sangka aku ini lelaki,” bisik Es perlahan apabila wajah itu masih tak lepas dari memandang ke arahnya. Sambil membetulkan rambutnya yang sedikit penyek kerana menggunakan helmet, dia berjalan perlahan-lahan mendekati gadis itu. Dari jauh dia melihat gadis itu cuba menyambung rehatnya tetapi terganggu dengan kehadirannya.

“Assalamualaikum…” Es menyapa sebaik sahaja dia berdiri di hadapan gadis itu. Gadis itu sedikit terkebil-kebil sebelum menjawab salamnya. Dia tahu gadis itu kaget lantas dia terlebih dahulu menghulurkan tangan untuk bersalam. Mujurlah salamnya bersambut. Es meminta izin untuk duduk berhadapan dengan gadis itu dan memperkenalkan diri. Es berasa lega apabila keramahan yang dipamerkannya membuka ruang untuk gadis itu menyambut salam perkenalan.

“Sakinah, panggil Kinah sahaja.” Tergambar sedikit perasaan malu dan segan di wajah Kinah apabila Es mengajak bicara. Namun akhirnya, mereka semakin selesa berbincang – tentang pekerjaan, aktiviti hujung minggu, buku-buku dan filem-filem yang diminati. Es juga dapat tahu perkara pertama yang menarik minat Kinah untuk memandangnya sebentar tadi adalah tulisan di bajunya. Kinah menyangka dia ingin menghadiri demonstrasi membela hak-hak wanita tetapi tersilap ke tempat demonstrasi membela hak asasi warga Palestin. Es gelak besar mendengarkannya. Lebih melucukan hati Es, rupa-rupanya itu adalah kali pertama Kinah berinteraksi dengan gadis berperawakan lelaki sepertinya. Patutlah tak berkelip dia memandang tadi, bisik hati kecil Es.

“Jadi, kenapa tiba-tiba Es ingin belajar Islam?” tanya Kinah dengan penuh rasa ingin tahu. Ketika itu, pembicaraan mereka menyentuh hasrat hati Es yang ingin belajar tentang Islam. Es meraup wajah sebaik sahaja soalan itu melantun ke dalam telinganya. Perlahan dia mengujar kata,

“Saya ingin taubat… Sejujurnya, saya dirundung takut…” Agak bergetar suara Es. Dia mengerling ke wajah Kinah yang diselimuti kehairanan.

“Taubat?” Kinah mencari kepastian.

“Saya takut dengan dosa-dosa saya Kinah. Kesalahan besar… Maksiat… Saya ingin kembali mendekatkan diri kepada Allah. Saya ingin mengenali Rasulullah secara dekat… “ Lirih dan sayu Es bersuara. Ada bening air yang bertakung di hujung mata Es. Kinah senyap sejenak. Dia dapat merasakan kata-kata itu dibasahi keikhlasan yang datang dari hati Es.

“Kalau tidak keberatan, apakah dosa yang Es lakukan sehingga Es ingin bertaubat?” Hati Es terasa ngilu mendengarkan pertanyaan Kinah. Dia menundukkan pandangan ke bawah. Dengan linangan air mata yang laju menuruni pipi, dia menjawab dengan suara tertahan-tahan.

 
“Saya Lesbian…” Perlahan suara Es meluahkan pengakuan beraninya. Kinah tergamam.

 
“L… e… s… b… i… a… n… ?” soal Kinah dengan terputus-putus. Hatinya tiba-tiba diamuk debar, tidak menyangka gadis di hadapannya bukan sekadar seorang tomboi tetapi melakukan lebih daripada itu.

 
“Saya tidak tahu di mana harus saya bermula. Saya ingin sembahyang tetapi sudah lupa caranya. Saya ingin menutup aurat tetapi saya sedar tidak ada sehelai pun baju saya yang menepati syarat. Saya hendak beli pakaian yang baru tetapi saya malu dengan mata-mata yang memandang…” Es masih lagi tunduk, menatap daun daun kering yang berguguran di atas tanah. Mungkin seperti itulah hatinya saat itu. Kering dengan pengetahuan dan penghayatan tentang islam. Kinah bermain-main dengan jarinya sambil fikirannya ligat berfikir. Ada kala dia menggosokkan kedua-dua belah tapak tangannya. Ada kala dia mematah-matahkan jari-jemarinya.

 
“Hari ini, saya tekad mencari seseorang yang dapat mendengar luahan hati saya, dengan harapan tindakan itu akhirnya akan membuka peluang untuk saya bertaubat.” Es menyambung bicaranya apabila Kinah hanya diam di hadapannya. Es angkat muka. Ada kesan air mata di pipi yang sebahagiannya kering disapa angin petang. Dia memerhatikan Kinah yang seakan-akan tenggelam dalam ketelitian berfikir.

 
Lama kemudian, barulah Kinah menghela nafas panjang. Dia memandang tepat pada anak mata Es. Pada mata itu, terpancar harapan seiring dengan luahan Es sebentar tadi. Kinah membulatkan hati dengan keputusan yang dicapai dalam kepalanya.

 
“Baiklah… sejujurnya, saya tidak menyangka kehadiran saya ke LTH hari ini bukan sahaja untuk memperjuangkan hak asasi saudara seagama di Palestin bahkan rupa-rupanya tuhan juga mahu saya membimbing saudara seagama yang senegara dengan saya. Maha suci Allah yang membenarkan semua ini berlaku… “ Panjang lebar Kinah memuntahkan perasaan yang terbuku dalam hatinya. Es membulatkan mata.

 
“Maksud Kinah… Kinah ingin bantu saya?” Cepat dia bertanya memohon kepastian. Kinah tersenyum sambil menganggukkan kepala. Spontan, Es bangkit dan terus sujud ke tanah. Sekurang-kurangnya dia tahu, sujud ke tanah itu tanda syukur pada Yang Maha Esa. Raut wajah Es benar-benar menampakkan kegembiraannya.

 
“Terima kasih Kinah! Terima kasih Kinah! Saya tak sangka!” ucap Es penuh gembira. Dia mengenggam tangan Kinah dan menggoncangkannya berkali-kali. Senyuman Kinah makin lebar melihat telatahnya. Dia membiarkan Es seketika sebelum akhirnya dia bersuara,

 
“Jadi, saya cadangkan kita mula dengan nama Es dulu… Apa nama penuh Es?” Mata Es bersinar penuh cahaya. “Aiesha!” sahutnya teruja. Kinah mengangguk.

 
“Maka mulai saat ini, awak adalah Aiesha.”

***

“Pernah berlaku suatu masa dahulu ketika zaman Nabi Luth alaihissalam… kaumnya mengamalkan cinta yang terpesong. Orang lelaki mahu berpasangan dengan orang lelaki manakala yang orang perrempuan mahu berpasangan dengan orang perempuan. Meskipun Nabi Luth cuba mendakwahi mereka agar bertakwa kepada Allah dan kembali kepada fitrah yang asal, kaumnya menolak sama sekali…” Kinah memulakan cerita pada suatu petang ketika mereka sedang duduk-duduk dan menghirup angin petang di taman. Setahun selepas pertemuan mereka di halaman bangunan LTH dahulu, Aiesha telah berubah secara perlahan-lahan.

Kini, dia sudah mula bertudung dan sering mengenakan kain sarung yang dipadankan dengan blaus yang agak labuh. Hatinya terisi dengan bacaan Quran dan tazkirah-tazkirah ringkas daripada ceramah agama, usrah mahupun daripada Kinah sendiri. Petang itu, dia yang meminta Kinah menceritakan semula tentang kaum Nabi Luth setelah seorang ustaz menyebutnya dalam satu siri ceramah tidak lama dahulu.

 
Kinah menyambung ceritanya sambil Aiesha khusyuk mendengar. Angin petang yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menjadi peneman mereka berdua. Kadang-kala, ada seorang dua kanak-kanak yang bermain basikal melintasi mereka.

 
“Pada malam di mana Allah mengutuskan malaikat untuk menyampaikan balasan Allah, malaikat tersebut menyamar sebagai lelaki yang kacak. Mereka menumpang di rumah Nabi Luth dan memohon agar kedatangan mereka dirahsiakan. Namun, isteri Nabi Luth yang ingkar telah membocorkan berita itu kepada kaumnya. Lantas, rumah Nabi Luth diserbu oleh lelaki-lelaki yang tidak sabar untuk melampiaskan nafsu mereka.” Aiesha menggeleng-gelengkan kepalanya tanda dia tidak bersetuju dengan perbuatan isteri Nabi Luth itu. Dia terus memasang telinga untuk mendengar cerita selanjutnya.

 
“Akhirnya, para malaikat menyuruh Nabi Luth dan ahli keluarganya yang beriman untuk meninggalkan kediaman mereka. Mereka dilarang untuk menoleh ketika kaum itu dibinasakan oleh Allah. Setelah binasa, Allah menterbalikkan bumi mereka. Laut mati itulah tempat mereka dahulu.” Ringkas Kinah menamatkan cerita. Aiesha mengeluh kecil apabila mendengar cerita kebinasaan kaum Luth itu. Dia tidak dapat membayangkan keadaan dirinya jika dia berada dalam kalangan kaum Luth ketika dia belum bertaubat. Mungkin dia juga termasuk dalam golongan yang dibinasakan itu.

“Saya teringat tentang saya dan dia dahulu. Nama dia Ramlah. Kami sangat bahagia berdua. Dia anggap saya sebagai seorang lelaki yang terperangkap di dalam tubuh wanita. Dia mencintai orang seperti saya dan membenci lelaki tulen kerana ayahnya seorang pendera. Kinah tahu, pernah satu masa, saya ambil keputusan untuk menjalani pembedahan tukar jantina?” Ada nada kesal dalam penceritaan Aiesha. Kinah mengucap perlahan mendengar cerita Aiesha.

 
“Kemudian, apakah yang merubah fikiran Aiesha?” Aiesha mengeluh panjang. Langit biru dipandang seketika sebelum menyambung cerita.

 
“Kami kumpul duit. Saya sibuk kerja sampai dua tiga kerja sebab mahu cepat-cepat cukupkan duit. Ramlah kerja di kelab malam di mana dia berjumpa dengan seorang doktor yang boleh melakukan pembedahan itu dengan harga yang murah. Tetapi…”
Aiesha diam sejenak.

 
“Rupa-rupanya, doktor lesbian itu telah merampas Ramlah daripada saya. Dia lebih berharta dan sudah menjalani pembedahan yang diperlukan. Ramlah pula tanpa disangka-sangka mengutuk dan menghina saya. Pelbagai gelaran dilemparkan pada saya sehingga saya malu dan benci pada diri saya sendiri. Saya bawa diri dan berfikir untuk berubah. Satu hari, saya dapat khabar bahawa Ramlah dan doktor tidak guna itu kemalangan maut. Mereka mati dalam keadaan masih bergelumang dengan dosa. Terus saya tersedar… saya perlu berubah sebelum terlambat…” Aiesha meraup mukanya selepas menghabiskan cerita. Rambut yang terurai ke depan ditolak ke belakang. Sejak setahun yang lepas, dia cuba untuk tidak memotong rambutnya seperti dahulu. Mujur ada Kinah sebagai pembakar semangat. Kinah yang sedari tadi menjadi pendengar setia mencapai Al-Quran kecil yang sentiasa dibawa di dalam beg.

 
“Semua yang berlaku ada hikmahnya. Kita sebagai hamba yang lemah seharusnya bersyukur apabila sempat diberikan hidayah dan teguran daripada Allah ketika kita masih hidup. Cuba Aiesha tengok ayat Quran ni. Firman Allah dalam surah Furqan, ayat tujuh puluh satu… Dan orang-orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya.” Kinah memberi sedikit ruang dan masa untuk Aiesha menghayati sepenuhnya sepotong ayat pendek yang dipetik daripada kitab suci itu. Aiesha kelihatan tersentuh. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya sebelum bersuara,

 
“Sebenarnya, Aiesha jumpa banyak sangat ayat Quran tentang taubat. Setiap kali Aiesha baca, Aiesha akan rasa sangat tersentuh dan bersyukur sebab Allah masih beri Aiesha peluang untuk bertaubat dan memperbaiki diri. Sungguh, Aiesha bersyukur sangat.” Kinah tersenyum senang. Dia juga berasa beruntung kerana dipilih oleh Allah untuk menjadi orang yang membantu Aiesha untuk berubah.

 
“Alhamdulillah Aiesha.” Kinah mengucapkan syukur dan memeluk bahu Aiesha yang duduk di sisinya. Aiesha membalas senyuman Kinah dengan hati yang lapang. Petang itu, banyak pengajaran yang diperoleh oleh Aiesha. Sambil menikmati keindahan petang, dia juga belajar tentang keindahan taubat dan belajar tentang sejarah orang-orang terdahulu yang enggan bertaubat.

 
Alhamdulillah.

***

 
“Menarik kan buku tu?” Kinah selamba bertanya meskipun perbualan mereka berakhir agak kekok semalam. Aiesha cepat-cepat melarikan diri ke dalam bilik setelah dia tersilap membahasakan dirinya sebagai Es. Aiesha yang sedang menyuap roti bersapu kaya terencat kunyahannya. Dia berdehem kecil sebelum menjawab,

 
“Virus-virus ukhuwwah?” Kinah mengangguk. Dia menghirup air teh panas perlahan-lahan sambil menjeling sahabatnya yang seorang itu. Memang kebiasaannya mereka akan bersarapan bersama-sama sebelum berjalan ke stesen LRT Bandar Tun Razak tidak jauh dari flat yang mereka diami. Kinah akan ke tempat kerjanya di Perpustakaan Negara sementara Aiesha pula bekerja di salah sebuah kaunter di Terminal bas Bersepadu Selatan. Rutin itu baru sahaja bermula sebulan yang lalu apabila mereka mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah yang lebih kecil bagi menjimatkan duit sewa rumah.

 
“Hmmm… menarik tetapi meresahkan hati… Kinah percaya?” Aiesha menelan kunyahannya yang terakhir dan mengelap mulutnya dengan tisu. Kinah angkat kening.

 
“Percaya apa?” Aiesha mengeluh kecil.

 
“Percaya bahawa dalam ukhuwwah sesama jantina… dalam kalangan orang yang beriman, boleh wujud perasaan mencintai yang melampaui batas? Cinta itu dikaburi dengan perkataan ukhuwwah dan mencintai kerana Allah?” Aiesha mula mempertikaikan bahan bacaannya.

 
“Macam perasaan yang Aiesha rasa semalam? Dan mungkin sekarang?” soal Kinah secara serkap jarang. Serta-merta Aiesha tersentak. Dia menggumam bibir, berat untuk mengakuinya. Mukanya berkerut, sedikit merah menahan perasaan. Reaksi itu mengundang tawa kecil di bibir Kinah. Kinah bangkit mencapai piring dan cawan yang mereka gunakan ke sinki. Dia membasuh tangan lalu bersandar di kabinet dapur sambil memandang ke arah Aiesha.

 
“Aiesha minta maaf. Sejujurnya Aiesha sangat takut. Takut dalam hati ini masih ada sisa-sisa nafsu songsang itu. Sejarah hitam yang lalu membuatkan Aiesha takut perasaan sayang Aiesha pada Kinah bertukar menjadi cinta yang terlarang. Oleh sebab itulah, Aiesha melarikan diri semalam.” Merah padam muka Aiesha menentang wajah selamba Kinah. Dia masih tidak berganjak daripada kerusi, seakan-akan punggungnya terlekat di situ. Kinah angkat bahu.

 
“Manusia ini hidup di dunia sentiasa ada bisikan syaitan. Oleh sebab itulah, manusia yang tewas dengan hasutan syaitan akan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan fitrah dan syariat. Orang yang beriman pun tidak terlepas daripada godaan ini, malahan bisikan itulah yang melahirkan alasan seperti ukhuwwah kerana Allah atau sebagainya…” Ringkas jawapan Kinah namun cukup untuk menjawab soalan Aiesha. Aiesha menundukkan pandangan. Dia kebuntuan kata-kata, tidak tahu respons bagaimana yang harus diberikan. Sebenarnya dia malu. Dia tidak menyangka Kinah menyedari perasaan yang terselit dalam hatinya.

 
“Betapa indahnya islam apabila ia telah sedia dengan tatacara hidup yang sangat lengkap. Umat Islam yang patuh pada ajarannya akan sedar hikmah pada setiap perintah Allah dan sunnah Rasulullah…” Agak panjang Kinah bermukadimah sebelum menarik kerusi di hadapan Aiesha lantas duduk dihadapannya. DIa mencuit dagu Aiesha supaya mata mereka bertentangan.

 
“Pertama, Islam mengajar kita tentang penjagaan aurat sesama wanita. Kita dilarang sama sekali mendedahkan beberapa bahagian tubuh kita daripada pandangan wanita lain meskipun ibu ataupan kawan baik kita sendiri… Jagalah aurat sesama kita, semoga displin ini mengajar kita rasa malu untuk mendedahkan diri secara berlebihan antara satu sama lain.”

 
Kinah menarik nafas.

 
“Kedua, Allah juga memerintahkan agar tempat tidur antara adik beradik lelaki dipisahkan dengan adik-beradik perempuan supaya masing-masing dapat menjaga pandangan dan aurat ketika tidur… Malahan antara sesama jantina pula, ada larangan yang menyebut tidak boleh berkongsi selimut kerana ia akan menyebabkan persentuhan antara dua orang yang berkongsi itu. Maka, kalau kita ingin mengelakkan sesuatu yang tidak baik berlaku dalam ukhuwwah kita, jagalah juga perkara yang kedua ini. Insha-Allah selamat…” Kinah tersengih. Aiesha pula hanya diam mendengar bicara Kinah. Dia cuba mengisi hatinya dengan setiap perkataan yang keluar daripada mulut Kinah.

 
“Ketiga, hayatilah solat dan qiam kita kerana dengan penghayatan barulah kita merasa terdorong kepada perkara yang makruf dan tercegah daripada perkara yang mungkar. Dengan solat, kita membina cinta pada Allah. Dengan qiam, kita menguatkan cinta pada Allah. Mana mungkin selepas mencintai Allah, kita mahu mengingkari perintah-Nya? Secara automatik, hati kita sendiri akan kuat menolak daripada terdorong oleh nafsu jahat dan bisikan syaitan itu.”

 
Aiesha pejam mata sebaik sahaja mendengarkan bait-bait terakhir yang keluar daripada mulut sahabatnya itu. Dia meraup muka berkali-kali cuba beristighfar akan kealpaan diri. Mata dibuka. Tangan Kinah diraih.

 
“Kalau begitu, Aiesha minta maaf Kinah. Aiesha janji, Aiesha akan cuba perbaiki solat dan qiam Aiesha supaya cinta pada Allah benar-benar menjadi nombor satu… dan, ukhuwwah kita pula akan jadi ukhuwwah yang benar-benar kerana Allah…” Penuh ikhlas Aiesha menyuarakan muhasabahnya. Dia bersyukur dikurniakan seorang sahabat yang sanggup membimbingnya agar tidak tergelincir daripada jalan menuju Tuhan. Kinah tersenyum lebar. Dia suka melihat diri Aiesha yang mudah menerima nasihat itu. Padanya, salah satu sebab yang memudahkan Aiesha untuk bertaubat dan memperbaiki diri adalah karakter yang satu itu.

 
“Insha-Allah Aiesha. Kita sama-sama mengingatkan antara satu sama lain supaya kita berdua tetap berada di atas jalan yang benar. Banyak-banyakkan beristighfar apabila kita tersilap langkah. Sudah, jom pergi kerja!” Kinah bingkas bangun dan menepuk bahu kawannya itu. Aiesha tersenyum. Dia bersyukur, perasaannya yang gundah sejak semalam beransur lega. Dia sudah tahu langkah yang harus diambil selepas itu.

-TAMAT-

Rujukan:
https://penawan.wordpress.com/2016/01/25/pertandingan-menulis-cerpen-penawan/
http://www.jais.gov.my/article/amalan-kaum-nabi-luth
http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/8496-lgbt-dari-aspek-kekeluargaan

Advertisements

About tanah

Just Allah's slave. seeking for a truth over a truth, love over love, strength over a strength, barakah over barakah, mardhotillah over mardhotillah and heaven after world.
This entry was posted in Dakwah Kita. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s